Pemencilan, Pencirian dan Afiliasi Filogenetik Endofit Streptomyces sp. Bioaktif daripada Pokok yang Mempunyai Nilai Perubatan

Nurul Izzah Mohd Sarmin,Noraziah Mohamad Zin
DOI: https://doi.org/10.17576/jsm-2024-5311-18
2024-11-29
Sains Malaysiana
Abstract:Kepelbagaian biologi tumbuhan di hutan Malaysia menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pemencilan Streptomyces endofit. Strain novel Streptomyces merupakan sumber berpotensi dalam menghasilkan sebatian farmaseutikal bioaktif yang boleh dibangunkan sebagai ubatan baharu. Kajian ini bertujuan untuk memencilkan Streptomyces endofit daripada tumbuhan ubatan yang berbeza di Hutan Simpan Bangi, pengenalpastian, pencirian dan analisis filogenetik pencilan tersebut. Streptomyces endofit dipencilkan menggunakan kaedah sterilisasi permukaan dan pencilan ini seterusnya dikenal pasti menggunakan pemerhatian morfologi. Streptomyces endofit yang dipencilkan telah dikelaskan ke dalam kumpulan berdasarkan warna miselium aerial. Analisis jujukan gen 16S rRNA telah dijalankan untuk mentakrifkan hubungan filogenetik antara spesies yang berkait rapat dan juga antara strain yang tergolong dalam satu spesies. Semua pencilan kemudiannya diuji untuk aktiviti antimikrob. Tiga Streptomyces endofit iaitu SUK 8, SUK 10 dan SUK 15 telah berjaya dipencilkan daripada tumbuhan ubatan yang berbeza. Ketiga-tiga pencilan tersebut dikelaskan dalam kumpulan siri kelabu berdasarkan warna miselium aerial. Siri kelabu ini juga membentuk kelompok filogenetik yang sama berdasarkan data jujukan gen 16S rRNA. Berdasarkan analisis filogenetik jujukan gen 16S rRNA, semua pencilan dikelaskan sebagai Streptomyces eurythermus ATCC 14975T (persamaan jujukan gen 98.5%). Pencilan SUK 8, SUK 10 dan SUK 15 juga menunjukkan corak aktiviti biologi yang serupa yang berupaya merencat sehingga 100% organisma patogen yang sama. Keputusan ini mengesahkan bahawa terdapat korelasi yang baik antara kepelbagaian fenotip antimikrob dan gen 16S rRNA. Kesimpulannya, metabolit aktif yang berpotensi daripada Streptomyces endofit boleh dijangka daripada data taksonomi yang baik.
multidisciplinary sciences
What problem does this paper attempt to address?