Komposisi Isotop Radiogenik Pb Longgokan Emas Orogeni Bufffalo Reef, Pahang, Malaysia: Implikasi terhadap Genesis Bijih

Mazlinfalina Mohd Zin,Mohd Basril Iswadi Basori,Habibah Jamil,Nasirudin Yusoff
DOI: https://doi.org/10.17576/jsm-2024-5310-04
2024-10-30
Sains Malaysiana
Abstract:Longgokan emas Buffalo Reef di Jalur Tengah Semenanjung Malaysia merupakan longgokan jenis orogeni yang berkongsi banyak cirian geologi dengan longgokan emas orogeni lain di rantau ini. Batuan perumah di Buffalo Reef didominasi oleh batuan sedimen iaitu syal, syal berkarbon, batu lodak, batu lumpur, batuan metamorf gred rendah (sabak) dan batuan volkanik. Komposisi isotop Pb bagi sulfida di dalam telerang kuarza dan batuan perumah daripada longgokan emas Buffalo Reef dilaporkan dalam kajian ini sebagai salah satu kaedah untuk menentukan sumber larutan pembentuk bijih, julat sempadan usia (modal age) dan sekitaran tektonik. Hasil kajian ini kemudiannya disepadukan dengan gambaran keseluruhan sekitaran geodinamik serantau, untuk lebih memahami tentang genesis longgokan emas orogeni di rantau ini. Empat mineral stibnit di dalam telerang kuarza memberikan julat nisbah 206Pb/204Pb daripada 18.5953 hingga 18.6318, nisbah 207Pb/204Pb antara 15.6564 dan 15.6910 dan nisbah 208Pb/204Pb sekitar 38.6378 hingga 38.7503. Sementara itu, nisbah untuk 206Pb/204Pb, 207Pb/204Pb dan 208Pb/204Pb bagi satu mineral stibnit daripada batuan perumah ialah 18.6215, 15.6242 dan 38.6132. Secara keseluruhannya, nilai data isotop Pb yang terkandung oleh mineral stibnit di dalam telerang kuarza adalah agak kecil dan menunjukkan persamaan dengan nilai isotop Pb yang terkandung oleh mineral stibnit di dalam batuan perumah. Hasil kajian menunjukkan bahawa sumber utama Pb dalam larutan hidroterma pemineralan di Buffalo Reef berasal daripada percampuran Pb kerak atas dengan Pb daripada sumber igneus/mantel yang terbentuk di sekitaran tektonik subduksi-perlanggaran yang membentuk jalur orogeni. Perbandingan data isotop Pb dalam longgokan emas Buffalo Reef dengan beberapa longgokan emas orogeni di Semenanjung Malaysia menunjukkan nilai isotop Pb dan sekitaran tektonik yang konsisten dan seragam serta semuanya berada dalam julat umur modal 0-200 juta tahun. Penemuan ini selaras dengan kejadian longgokan emas orogeni di Buffalo Reef dan longgokan emas orogeni lain di rantau ini yang terbentuk terutamanya di sepanjang sempadan kerak menumpu bagi jalur orogeni perlanggaran.
multidisciplinary sciences
What problem does this paper attempt to address?